Terus ke kandungan
Sewa sekarang
BM

Tip Menyewa Kereta di Negara Asing

Bahagian paling sukar apabila memandu di negara orang bukanlah pemanduan itu sendiri. Ia adalah dua puluh perkara kecil yang orang tempatan sudah tahu sejak kecil, dan tiada siapa terfikir hendak memberitahu anda. Berikut apa yang paling kerap menyusahkan pemandu Malaysia di luar negara, mengikut susunan ia biasanya berlaku.

Lesen anda, dan soalan yang perlu ditanya sebelum terbang

Lesen memandu Malaysia diterima di banyak negara, selalunya bersama Permit Memandu Antarabangsa. Permit itu bukan lesen berasingan. Ia terjemahan rasmi lesen anda, jadi kedua-duanya perlu dibawa serentak. Permohonan boleh dibuat di cawangan JPJ sebelum anda bertolak dan ia tidak mengambil masa lama.

Itu bahagian yang senang. Yang lebih rumit ialah setiap syarikat sewa meletakkan syarat sendiri di atas undang-undang negara berkenaan: lesen mana yang mereka terima, berapa lama anda perlu memegangnya, dan berapa umur minimum pemandu. Syarat itulah yang menentukan sama ada anda dapat kunci atau tidak, dan ia tidak selalu tersiar di laman web. Tanya sebelum menempah, bukan di kaunter, dan simpan jawapannya secara bertulis.

Sebelah mana jalan

Kita memandu di sebelah kiri. Lebih separuh dunia memandu di sebelah kanan, dan Eropah, Amerika Syarikat serta kebanyakan Asia Timur termasuk dalam kumpulan itu.

Dua saat yang benar-benar memerlukan tumpuan ialah keluar dari tempat letak kereta dan membelok di simpang yang sunyi, kerana di situ tiada kereta lain untuk anda ikut. Bulatan pula berpusing arah bertentangan dengan yang anda biasa. Kekok pada jam pertama itu normal. Yang berbahaya ialah jam ketiga, apabila anda sudah rasa selesa dan mula memandu secara automatik.

Tol dan bayaran jalan

Setiap negara ada caranya sendiri. Sesetengah negara Eropah menjual pelekat cukai jalan untuk tempoh tertentu dan mengenakan denda besar jika anda memandu tanpa pelekat itu. Ada yang mengutip tol di pondok seperti di sini. Ada pula yang merakam plat nombor dan menghantar bil kemudian, yang bermakna bil itu sampai kepada syarikat sewa dan syarikat sewa akan menuntut daripada anda, biasanya dengan caj pentadbiran.

Tanya semasa mengambil kereta: apa sistemnya di sini, dan siapa yang bayar. Ini soalan yang mengambil masa satu minit untuk ditanya dan boleh menjimatkan beratus ringgit.

Minyak, dan mulut tangki yang salah

Diesel dan petrol tidak sentiasa berkod warna seperti yang anda jangka, dan nama gredmya berbeza dari negara ke negara. Mengisi minyak yang salah adalah kerosakan yang tidak dilindungi oleh mana-mana insurans sewa, dan ia mahal.

Baca apa yang tertulis di dalam penutup tangki sebelum anda menyentuh muncung pam. Jika tulisannya dalam bahasa yang anda tidak faham, ambil gambar dan tunjukkan kepada petugas stesen.

Insurans, dan perkataan yang perlu anda fahami

Ini bahagian yang paling banyak menelan wang orang, dan ia berlaku di kaunter apabila anda sudah penat selepas penerbangan.

Kebanyakan sewa datang dengan perlindungan asas yang mempunyai lebihan, iaitu jumlah pertama kerosakan yang anda tanggung sendiri. Jumlah itu boleh mencecah ribuan ringgit. Kaunter akan menawarkan perlindungan tambahan untuk mengurangkannya, biasanya pada harga harian yang tinggi.

Ketahui tiga perkara sebelum anda sampai: berapa lebihan itu, sama ada kad kredit anda sudah memberi perlindungan sewa kereta, dan sama ada anda sudah membeli perlindungan berasingan yang lebih murah. Keputusan yang dibuat dalam keadaan penat di kaunter jarang keputusan yang paling menguntungkan anda.

Lima minit sebelum anda memandu keluar

Buat ini di mana-mana anda menyewa, di dalam atau di luar negara. Berjalan mengelilingi kereta dan ambil gambar setiap panel, termasuk rim dan bampar. Ambil gambar penunjuk minyak dan odometer. Buka but. Pastikan alat hawa dingin berfungsi sebelum anda terperangkap dalam kesesakan.

Pastikan tarikh dan masa pada gambar dihidupkan. Lima minit ini menghapuskan seluruh kategori pertikaian yang biasanya berlaku pada hari pemulangan.

Tiga dokumen yang wajar difoto

Perjanjian sewa yang sudah ditandatangani, termasuk halaman yang menyenaraikan kerosakan sedia ada. Kad pendaftaran atau dokumen insurans yang disimpan di dalam kereta. Dan resit deposit, dengan jumlahnya kelihatan jelas.

Simpan ketiga-tiganya dalam telefon, bukan dalam beg. Beg boleh hilang, dan anda memerlukan dokumen itu justru pada saat beg hilang.

Tanya soalan yang kekok lebih awal

Berapa deposit dan bila ia dikembalikan. Siapa yang bayar tol dan saman. Apa yang berlaku jika kereta dipulangkan lewat. Ada had jarak atau tidak. Siapa yang perlu dihubungi jika kereta rosak di tepi jalan, dan pada waktu berapa mereka menjawab.

Tiada satu pun soalan ini sukar, dan semuanya lebih murah ditanya sekarang berbanding ditemui kemudian.

Bila anda pulang dan memerlukan kereta di Lembah Klang pula, kami hantar terus ke alamat anda. Percuma dalam lingkungan 5km, dan di luar itu kami beri sebut harga mengikut jarak sebelum anda membayar apa-apa.

Hubungi kami di WhatsApp
Tempahan 016-316 9969 Korporat 016-711 4991